01
Print

Sejarah Penubuhan SMKA Wataniah

Written by Super User. Posted in Info

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah Alor Keladi telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Awang. Beliau telah diputerakan di Kampung Pulau Berangan Bukit Kenak, Besut, Terengganu pada 1915. Beliau merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik yang masih hidup. Oleh itu, beliau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Haji.

          Beliau mula belajar agama secara formal daripada Tuan Guru Haji Omar Kampung Raja pada tahun 1349 Hijrah. Selepas itu beliau belajar di Pondok Kuala Besut dan Pondok Haji Abas, Bukit Puteri, Besut. Beliau juga mengikuti pelajaran agama di Pondok Kenali, Kubang Kerian sementara menunggu urusan untuk menyambung pelajaran di Mekah pada tahun 1357 Hijrah. Semasa di Mekah, beliau mendalami bidang Qiraat dan Nahu. Beliau berjaya memperoleh sijil dalam bahagian ini dari Pusat Pengajian Ahmad Hijazi di Mekah pada 1360 Hijrah dan kemudiannya mengikuti pengajian di Masjidil Haram, Mekah.

          Pada akhir tahun 1949 beliau kembali ke Tanah Melayu dan menetap di Kampung Alor Keladi kerana mengikut orang tuanya yang telah berpindah dari Bukit Kenak ke Kampung Alor Keladi.Pada tahun 1950, beliau telah mengasaskan pondok ‘Wataniah" secara gotong-royong. Pada awalnya pondok ini dikenali dengan nama ‘Pondok Pak Su Haji’ . Apabila mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, beliau telah mendapat bantuan daripada beberapa orang tenaga pengajar yang sebahagian besar merupakan anak didik beliau sendiri.

          Pada tahun 1960 beliau telah mendaftarkan sekolah ini sebagai Sekolah Agama Rakyat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Pentadbirannya dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT). Beliau menerima pendaftaran rasmi bertarikah 10 Ogos 1960.Pada tahun 1967, beliau diserang penyakit angin ahmar, tetapi masih terus mengajar walaupun tidak secergas dahulu sehingga tahun 1971. Selepas itu tugas beliau diambil alih oleh beberapa orang anak muridnya. Hal pentadbiran telah diserahkan kepada Ustaz Abdul Latif bin Muhammad.

          Beliau mendirikan rumahtangga sebanyak tiga kali. Kali pertama, beliau bertemu jodoh dengan Puan Ramlah binti Haji Idris. Bersama isterinya yang pertama beliau dikurniakan seorang anak lelaki, tetapi meninggal dunia sewaktu masih kecil lagi. Beliau kemudiannya bertemu jodoh dengan Puan Aminah binti Haji Abdullah tetapi tidak dikurniakan zuriat. Tuan Haji Abdul Latif kemudiannya bertemu jodoh untuk kali ketiga dengan Puan Fatimah binti Jusoh pada tahun 1954.

          Pada 18 Mei 1973 beliau telah meninggal dunia dalam usia 58 tahun. Beliau telah meninggalkan seorang balu dan enam orang anak iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan yang bersebelahan dengan pagar sekolah sekarang. Kubur tersebut juga dikenali dengan nama Kubur Pak Su Haji kerana beliaulah yang telah memohon tanah tersebut untuk dijadikan rezab kubur.

          Di samping sebagai pengasas sekolah, beliau juga telah menjadi tempat rujukan hal-hal agama oleh masyarakat kampung khasnya dan daerah luar amnya. Balaisaf yang didirikan di kawasan pondok sering dikunjungi oleh penduduk luar untuk berjemaah dan mendengar kuliah agama. Beliau juga dilantik sebagai Imam Masjid Mukim dan sering dijemput ke mesyuarat dan perbincangan dalam Majlis Fatwa oleh Mufti Kerajaan Terengganu. Beliau telah mewakafkan sebahagian daripada tanahnya untuk tapak bangunan sekolah asal bagi pelajar perempuan yang diamanahkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

Demi Masa...